Thursday 3 March 2011

Cinta Pada Ilmu



Assalamualaikum dan Salam Ukhwah kepada semua murid KRK Daerah Kuala Selangor.
Kali ni, cikgu hendak membicarakan betapa penting perasaan cinta itu kita pupuk terhadap pelajaran dalam usia yang sepatutnya mencari ilmu dan mencintai ilmu. Seterusnya anda harus menggunakan ilmu yang diperolehi dengan cara dan jalan yang betul.Seandainya anda berjaya memupuk diri agar mencintai ilmu, maka tidak timbul lagi persoalan 'belajar bila perlu'.

Murid yang baik, harus berusaha agar membudayakan ilmu dalam kehidupan. Usaha menekankan kepada mencintai ilmu tidak akan berjaya jika penekanan itu tidak disertakan dengan usaha ke arah itu dan bertekad untuk menjadi individu yang berpengetahuan dan berilmu. Anda semua pernah dengar satu pepatah bahawa 'hina besi kerana karat'. Hal ini samalah seperti hinanya seseorang manusia jika tidak berilmu.

Pembudayaan ilmu harus berlaku dalam setiap lapisan masyarakat, namun jika usaha ini dilakukan seawal mungkin maka kita akan mengecapi nikmat yang berpanjangan.Mungkin kerana inilah penerapan ilmu bagi setiap Muslim mestilah dimulakan sejak bayi di dalam kandungan lagi. Saranan untuk selalu membaca al-Quran, membaca buku-buku berguna dan bercakap-cakap dengan bayi dalam kandungan memang selalu kita dengar. Perbuatan ini bukan hanya satu perbuatan suka-suka tetapi mempunyai niat yang lebih mendalam. Tujuannya bukan sahaja untuk merapatkan hubungan ibu-anak tetapi tidak kurang penting adalah untuk membudayakan ilmu seawal mungkin.Akhirnya, diharapkan kita dapat melahirkan insan yang benar-benar mencintai ilmu. 

Cikgu berharap dalam  kalangan anak-anak zaman moden ini , ada yang boleh menjadi seperti Muawwiyah bin Abi Sufyan ataupun mencontohi Imam Shafie. Muawwiyah sering kelihatan membawa pen yang disepitkan di daun telinganya agar ketika perlu, beliau dapat mencatatkan wahyu yang diperturunkan melalui Rasulullah SAW. Demi kerana cintakan ilmu, beliau mahu sentiasa bersedia dan tidak mahu ketinggalan atau gagal mencatatkan perkara yang penting. Manakala Imam Shafie pula adalah seorang yang begitu cintakan ilmu serta tekun mempelajarinya sehinggakan diiktiraf layak untuk mengeluarkan fatwa pada usia 15 tahun.

Apapun, murid-murid harus sedar kewajipan menuntut ilmu terkandung dalam hadis Nabi saw iaitu :

"طلب العلم فريضة على كلّ مسلم ومسلمة"

" Menuntut ilmu itu adalah fardu untuk setiap muslim dan muslimah.."

No comments:

Post a Comment