Tuesday 22 January 2013

KRK KUALA SELANGOR... SEMOGA SUKSESS

Assalamualaikum.
Wah, lama sungguh cikgu tidak menulis di laman ini. Jika blog ini ibarat sebuah bilik, dah tentulah ia berhabuk, bersawang dan nasib tak baik dah ada sarang anai-anai. Sebenarnya, kekangan masa dan kesibukan menguruskan hal-hal lain menyebabkan cikgu tidak berkesempatan untuk menulis sebarang entri di sini. Sebaiknya, kekangan masa tidak boleh dijadikan alasan kerana Allah telah memberi kita masa yang sama pada setiap manusia cuma kelemahan kitalah yg menyebabkan masa itu tidak terurus dengan baik. Jadi, cikgu terpaksa mengakui kelemahan sendiri kerana tidak bijak dalam pengurusan  masa.

Nampaknya, tahun ini semakin ramai muris-murid yang bijak berdasarkan keputusan UPSR 2012  tetapi tidak dapat menempatkan diri di mana-mana sekolah berasrama penuh.  Ekoran dari itu, sebuah lagi Kelas Rancangan Khas (KRK) diwujudkan di SMK. Kuala Selangor dan mula beroperasi pada tahun  ini bagi murid-murid tingkatan 1. Tahniah kepada sekolah tersebut dan selamat berusaha meningkatkan produk yg diperoleh itu.

Pada hari ini, semua penyelaras KRK  bermesyuarat untuk pertama kalinya bagi sesi 2013 dan ramai wajah-wajah baru yang dilantik sebagai penyelaras KRK di sekolah masing-masing. Wajah-wajah baru, sudah tentu akan menghasilkan idea-idea yang segar bagi meningkatkan prestasi KRK di sekolah mereka khasnya dan bolehlah berkongsi idea dan maklumat bagi menaikkan lagi imej KRK daerah amnya.

Buat murid-murid yang dipilih memasuki KRK, anda semua adalah insan terpilih dan istimewa walaupun ada yang berasa sedih kerana tidak berpeluang memasuki SBP. Jangan bersedih dan jangan berasa malang kerana jika anda sebutir mutiara, walau dicampak kemana sekalipun, anda tetap bersinar dan bercahaya. Jangan jadikan situasi sebagai alasan untuk anda tidak cemerlang kerana anda harus buktikan yang anda memang cemerlang walau di mana anda ditempatkan. Sesungguhnya, kita tidak dapat menjangkau dengan akal fikiran atau logik akal kenapa Allah menempatkan kita di KRK bukan di mana-mana sekolah berasrama penuh yang gah dan glamour. Jangan benarkan apa sahaja yg berada di sekeliling kita berjaya mempengaruhi diri kita ke arah yg negatif. Percaya pada diri sendiri dan percaya bahawa perancangan Allah itu jauh lebih baik.

Ok, cukup sampai di sini dahulu sebagai salam pembukaan tirai 2013. Cikgu akan 'update'kan guru-guru penyelaras daerah Kuala Selangor dalam masa terdekat ini. Dan, murid-murid juga boleh mengajukan sebarang soalan, perkongsian ilmu, meminta nasihat dan sebagainya di ruang ini dan inshaAllah kita boleh bertukar-tukar maklumat dan pandangan atau apa saja. Sesungguhnya, tiada pertanyaan yang tidak ada jawapan dan tidak ada kekusutan yang tidak boleh dileraikan.

No comments:

Post a Comment